Sunday, August 10, 2014

[CERPEN : Special Hari Raya] Di Hujung Harapan Aidilfitri

BACA : Novel Kita Suka Sama Suka

P/S : masih terdapat kesalahan ejaan / perkataan yg masih belum sempat diedit. Harap maaf.
Selamat Membaca.
Kupinta mohon dan maaf atas segala kesilapan dan kekurangan cerpen ini.


DI HUJUNG HARAPAN AIDILFITRI

PAGI 1 Syawal. Setelah orang ramai pulang dari solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

            Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar.
Laa ilaaha illallahu Allahu Akbar,
Allahu Akbar walillahilhamd...

            Takbir raya berkumandang di siaran televisyen. Cukup sayu kedengaran bagi mereka yang menghayatinya sepenuh hati. Takbir yang menandakan rasa syukur atas kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.

“Ayish nak salam atok.”

Anak kecil yang baru berusia tiga tahun setengah itu tersenyum ceria. Petah sungguh tutur bicaranya. Di dalam fikiran anak ini hanya tergambar keriangan suasana hari raya. Tiada langsung gambaran duka.

Lebih-lebih lagi apabila melihatkan segenap ruang di rumah kampung datuknya ini dipenuhi saudara-mara yang pulang beraya. Semakin sukalah dia dibuatnya.

Sungguh polos dirimu, wahai Muhammad Yusuf Zulfarish.

 “Hurmmm, okay. Ayish nak cakap apa nanti kat atok bila Ayish nak salam?” tanya Zaim kepada anak yang berada dalam pelukannya itu.

“Cakap yang Ayish mintak maaf.” Tukas anak itu. Masih tersenyum. Bijak betul si kecil ini. Mencuit hati si ayah.

“Pandai anak ayah ni,” balas Zaim. Dicium pipi si kecil itu. Kemudian, digeletek pula anak manjanya itu. Terkekek-kekek Ayish dibuatnya. Kegelian.

“Okay, dah. Pergi salam atok sana. Mintak maaf dulu tau. Jangan mintak duit raya dulu pulak,” tegas Zaim. Dilepaskan pelukannya. Dikemaskan baju Melayu dan songkok yang dipakai si kecil itu dulu.

“Okay, Ayish tau. Ayish salam atok dulu.”

Terkedek-kedek Ayish berlari  mendapatkan datuknya, bapa mertua Zaim yang sedang duduk di ruang tamu. Zaim hanya memandang dari jauh. Dia tersenyum. Pahit. Ada kepiluan yang tersembunyi di sebalik manisnya senyuman itu.

“Comel Ayish tu, bijak budaknya,” suara kakak iparnya itu menyapa gegendang telinganya.

“Dia excited  sangat tu Kak Su, nak salam atok dia. Nak bagitau yang dia dah mula belajar puasa lah tu agaknya. Tapi puasanya setengah hari je.” Zaim tersengih. Pasti dia geli hati tiap kali mengenangkan keletah Ayish.

“Hehehe, nak mintak duit raya lebih la tu?” duga Suria Zayna.

“Entahlah. Agaknya lah tu. Dia cakap atoknya dah janji, siapa puasa, dapat duit raya lebih.”

“Budak-budak. Comel je kan buat gitu.” Tukas Zaim.

“Ha’ah. Eh, anak kamu yang kecik tu mana? Tidur ke? Tak nampak pun dari tadi,” tanya Suria lagi.

“Oh, ada dalam bilik tu, kak. Tadi sebelum pergi sembahyang raya, saya nampak dia dah tertidur masa Kak Ida pangku dia. Dah tu saya nampak mak letak dia dalam baby cot kat bilik tu. Saya nak masuk tengok si kecik  tu dulu, ya kak. Takut dia merengek, lapar.”

Zaim pun berlalu pergi dari ruang tamu rumah mertuanya itu. Dia masuk ke dalam biliknya pula. Bilik yang menyimpan seribu satu kenangan dan memori bersama isteri tercinta. Isteri yang sudi menerima dirinya ini seadanya.

Hatinya dipagut rasa sayu. Sebak. Hiba.

Zaim memandang bayi comel yang sedang tertidur di dalam katil bayi. Dia mencium kedua belah pipi tembam anak kecilnya itu. Penuh kasih.

Diangkat bayi kecil itu baring di ribanya.

Si kecil itu mencebik. Bibirnya terbalik. Tidurnya sedikit terganggu. Digosok-gosok mukanya menggunakan kedua belah tangan yang tersarung dengan sarung tangan bayi bewarna pink itu.

Punggungnya ditepuk-tepuk lembut oleh Zaim.  Setelah menggeliat beberapa kali, si kecil itu pun kembali terlena.

Sufi Zairisya. Cukup indah nama yang diberi. Seindah pemberian berharga, amanah daripada Ilahi. Permata hati ayah dan ibu. Nama itu telah dia pilih bersama isterinya beberapa minggu sebelum anak ini dilahirkan. Wajahnya setenang namanya.

Raya kali ini dirasakan kelainannya. Kehadiran insan baru Sufi Zairisya memeriahkan lagi suasana Aidilfitri mereka sekeluarga.

Zaim memandang sekeliling kamar tidurnya ini. Pandangannya terhenti di saat matanya tertancap ke arah meja solek yang masih kelihatan cantik kemas tersusun itu. Memorinya berputar mengenang saat dia baru sahaja bergelar menantu rumah ini.

***************************************************

“Cantik isteri abang hari ni,” puji Zaim. Bahu isterinya dipegang lembut. Isterinya sedang menyisir rambutnya yang panjang mengurai itu.

Si isteri tersenyum. Kelat. Diletakkan sikat di tangan ke atas meja solek. Faham benar dengan perangai suaminya ini. Ada sajalah gayanya macam nak membodek.

“Ada-ada ajelah abang ni. Hari ni je lah saya cantik? Habis sebelum-sebelum ni saya tak cantiklah?” balas isteri tercinta Muhammad Zaim Zulfirash itu.

Mencerlung matanya memandang suaminya. Bibirnya dimuncungkan, sedikit senget. Macam mulut itik! Tapi masih tetap kelihatan manis.

Pandangan mereka bertaut di sisi cermin meja solek. Zaim tersenyum manis. Dipusingkan badan isterinya perlahan-lahan supaya si isteri memandang terus wajahnya. Ada madah istimewa hendak disampaikan kepada insan tercinta.

Mata bertentang mata. Pandangan mereka bertaut. Tepat ke dalam anak mata masing-masing. Tikaman pandangan yang meningkatkan frekuensi getaran melodi cinta itu.

Zaim membalas bicara isterinya yang bersisa sedikit nada merajuk itu. Kononnya. Olok-olok sahaja sebenarnya itu.

“Awak sentiasa cantik di mata saya, Isya. Saya kagum dengan ciptaan Allah SWT yang terlalu indah pada pandangan mata saya ini. Setiap hari saya rasa macam bermimpi, Isya. Awak kini sah menjadi isteri saya, memang saya rasa macam tak percaya. Orang yang saya cintai dalam diam kini sudah menjadi isteri saya.

Memeriahkan hari-hari saya dengan kerenah awak yang mencuit hati saya. Membuatkan saya tak pernah lekang dengan senyuman bila teringatkan awak kat tempat kerja. Sampaikan orang ingat saya tak betul bila tersenyum sorang-sorang tiap kali teringatkan si jelita pengarang jantung hati saya ni.

Awak begitu istimewa di mata saya dan di dalam hati saya, Isya.

Kesudian awak menerima saya yang yatim piatu, yang selalu dipandang rendah oleh orang lain ini membuatkan saya berasa amat bersyukur mempunyai awak sebagai isteri.

Awak anugerah terindah dari ALLAH untuk saya. Saya tak tahu nanti kalau ditakdirkan awak tidak ada menemani hari-hari saya. Mesti suram dan gelap hari saya tanpa awak. Don’t ever leave me alone... Like my grandparents did.”

Kelihatan ada air mata yang ingin menitis dari tubir matanya. Hatinya tiba-tiba sebak. Betapa dia bersyukur mempunyai insan sebaik Isya. Sanggup menyandang gelaran sebagai isteri seorang yatim piatu sepertinya.

Menumpang kasih dalam keluarga Isya juga satu anugerah terindah. Berteduh di bawah payung kasih kedua orang mertua. Berkongsi bagaimana bahagianya perasaan mempunyai adik-beradik bersama-sama ipar-duainya. Yang tidak dapat dirasakan saat dia masih kecil. Bila kedua orangnya pergi menghadap Ilahi, tika ingin pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Selama ini dia hanya memendam perasaan mengenangkan dia tidak layak untuk mendampingi sesiapa pun. Dirinya dianggap sebagai pembawa si** atau malang kepada insan-insan yang disayangi.

Itulah tanggapannya pada diri sendiri di saat dirinya dihantar ke rumah anak yatim sebelum dimasukkan ke sekolah berasrama penuh oleh datuk dan nenek kandungnya dulu. Sejurus selepas kedua orang tua dan abang kandungnya selamat bersemadi. Zaim memikul beban rasa bersalah hanya kerana dia seorang sahaja yang terselamat dalam tragedi hampir 15 tahun lalu itu.

“Im tak kira, Im nak jugak baju raya warna ungu tu!” desak Zaim. Bertegas masih inginkan juga baju Melayu bewarna ungu yang dilihatnya di pasaraya tadi. Muncungnya ditarik. Panjang berinci-inci.

“Im, mama kan dah belikan Im baju raya tadi. Yang ungu tu abang tengok macam tak berapa segak kalau Im pakai,” pujuk Zaif. Dia sayang betul akan adiknya yang baru berusia 12 tahun itu. Sudah menghampiri usia remaja, tapi masih manja! Tapi Zaif amat menyayangi Zaim. Itulah satu-satunya adik yang dia ada. Mereka sering menghabiskan masa bersama.

Walaupun setelah puas dipujuk. Zaim masih berdegil. Dia inginkan baju Melayu bewarna ungu itu juga! Akhirnya orang tuanya yang duduk di hadapan mengalah jua. Mereka berpatah balik ke pasaraya yang ada menjual baju diingini Zaim itu.

Manja betul bujang seorang ini. Anak bongsu, begitulah gelagatnya.

“Yeayyy, dapat baju raya kaler ungu!” sorak Zaim keriangan. Ibu bapanya dan Zaif turut tersenyum ceria melihatkan Zaim sudah kembali girang.

BANGGGGG!!!!

Plastik baju raya di tangan Zaim terlepas. Dia dan Zaif terpempan. Ternganga. Kedua orang tuanya sudah menggelitik di tengah jalan. Darah membasahi jalan.

“Papa! Mama!” bergegas Zaim meluru ke arah ibu bapanya.

“Zaim, tunggu dik!!!” jerit Zaif. Dia lihat kereta yang tadinya melanggar orang tuanya kini meluru ke arah adiknya pula. Cepat-cepat dia menolak tubuh adiknya itu ke tepi.

Belum sempat Zaim menoleh melihat abangnya. Tubuh Zaif pula dirempuh oleh kereta yang memang sengaja dipandu laju ke arah mereka itu. Zaif kini turut menyertai orang tuanya. Pergi untuk selama-lamanya...

Zaim terduduk di seberang jalan. Dia kaku seorang diri. Hanya air mata mengalir laju membasahi pipinya. Melihatkan ketiga-tiga orang kesayangannya sudah pun terkulai layu di tengah jalan. Dilumuri darah. Orang ramai mula mengerumuni mereka sekeluarga.

“Abang...” sapaan Isya mengejutkan Zaim dari imbauan pahit itu.

Izzreena Darwisya, mesra disapa Isya oleh Zaim. Insan yang bisa menggetarkan segenap ruang hati si yatim piatu ini sejak zaman perkenalan mereka di universiti. Sepantas kilat Isya meletakkan jari telunjuk kanannya di bibir Zaim sejurus mendengar apa yang dipinta oleh Zaim tadi. Dia turut menjadi sebak. Jika Zaim bukan seorang anak yatim pun, dia akan tetap memilih lelaki ini menjadi suaminya. Atas kerana peribadinya yang baik.

Sedari awal dia terpikat dengan keluhuran peribadi Zaim. Matang. Lembut bila berbicara dengan wanita dan anak kecil. Cukup pandai menghormati orang tua. Mementingkan agama dan nilai-nilai kekeluargaan. Pakej yang cukup lengkap untuk diambil menjadi suami pilihan.

“Shhh... Abang, don’t say like thatYou already knew that I love you just the way you are, right? Not because of your status. But because of your own determination to love me in the halal way. I fall into you because of your sweetness as a sweet gentleman. 

Diraih pula tangan suami tercinta. Mereka beralih duduk ke atas katil pula. Mata Isya tidak kalih dari memandang Zaim. Riak sayu menghiasi wajah lelaki itu.

“Saya pilih abang kerana saya tahu abang akan menjadi suami yang terbaik untuk saya. Imam yang terhebat untuk saya dan bakal anak-anak kita. Isya sayang sangat kat abang. Tolong jangan cakap saya takkan pilih abang sebab abang ni anak yatim piatu.

Saya yakin saya tetap akan pilih abang walaupun abang tak ada keluarga yang sempurna sekalipun. Abang ni suami yang full package tau baiknya. Saya pun rasa bertuah sangat-sangat hadirnya abang dalam hidup saya sebagai suami yang amat penyayang.

Setiap kejadian itu adalah qadha’ dan qadar dari DIA, bang. Ada hikmah yang tersembunyi yang kita tak tahu. Ada yang terselindung dari hijab zahir seorang hamba. Hanya mereka yang redha dan sabar menerima ujian pahit itu je yang akan merasakan kemanisan iman. Kesabaran dan ketabahan itu tinggi harganya. Bagi seorang hamba yang disayangi, Allah akan sentiasa berikan ujian di dalam hidupnya. Bagi melihat setinggi mana kekuatan dirinya dalam usaha meraih manisnya hidup berlandaskan keimanan.

Katakanlah, mana tau kalau abang ada keluarga lagi, abang takkan jumpa Isya agaknya. Allah ambil sesuatu, tapi dia gantikan sesuatu yang istimewa juga untuk abang kan? Jangan sedih-sedih ya, bang. Isya akan sentiasa ada untuk abang. Tapi satu hari nanti, kalau Isya takde nak temani hari abang, itu maknanya, Isya dah pergi menyahut panggilan Ilahi. Kalau itu terjadi, abang harus belajar redhakannya jugak.”

Berkerut dahi Zaim menangkap butir bicara terakhir Isya. Awalnya tadi dia sudah tenang apabila mendengar celoteh Isya yang berjaya menambat hatinya. Tapi ayatnya yang terakhir itu. Membuatkan Zaim agak ketakutan. Bukan kerana apa, kehilangan insan yang amat dicintai itu lebih menyakitkan!

Isya, don’t say that you will leave me too. Please...”

Isya mengetap bibir. Dia tahu dia sudah tersalah bicara apabila melihatkan riak keruh di wajah suaminya itu. Kesilapannya, mematikan suasana yang tadinya mendamaikan jiwa  mereka berdua.

“Okay, Isya minta maaf,bang. Isya janji, I won’t say it again. Isya takkan tinggalkan abang. Isya janji. Maafkan Isya ya, bang...” dikucup lembut tangan imamnya itu.

Zaim tersenyum. Hambar.

“Abang maafkan. Sayang tak salah apa pun sebenarnya. Betullah apa yang sayang cakap tu. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Kulli nafsin zaaiqatul maut. Cuma, abang minta tolong... Jangan seksa jiwa abang dengan kata-kata yang Isya nanti akan pergi dari hidup abang. Hati ni Isya... Sedih! Sakit!”

 “Terima kasih abang. Sudi maafkan dan layan segala kerenah Isya. Abang, dahlah tak mau sedih-sedih. Spoil mood aje. Sebenarnya Isya ada surprise nak bagi tahu abang,” ujar Isya. Ceria nada suaranya. Dia mengangkat wajah. Melirik ke arah suaminya. Senyuman penuh makna tersirat. Kedua-dua tangannya memaut lembut tengkuk suaminya.

Zaim sudah pelik. Berita apa pula dia hendak beritahu? Saspens sungguh.

“Tahun ni, nampaknya ada rezeki kita beraya bertiga pulak lah rasanya... Insya-Allah,” butir bicara Isya akhirnya membuatkan Zaim turut menguntum senyum. Dia faham erti kiasan pada bicara Isya itu. Tangannya sudah ditarik oleh Isya. Menyentuh perut isterinya.

Alhamdulillah, tahun itu mereka beraya bertiga. Kesian Isya kena ganti puasa sebulan. Kerana Ayish lahir pada awal bulan Ramadhan. Tersengih sendiri Zaim teringatkan peristiwa itu.

Tahun ini, Risya pula yang lahir sebulan sebelum bulan puasa. Tapi sayang...

“Ayah, adik baby tidur lagi eh?” sapa Ayish, separuh berbisik. Dia sudah duduk di sebelah ayahnya. Takut benar jika adiknya itu terjaga. Entah bila Ayish masuk ke dalam bilik, tidak pula Zaim perasan. Kerana dia sudah terlalu tenggelam dalam kenangan silam.

“Adik tengah tidur lagi. Abang Ayish jangan kacau adik tidur. Nanti adik nangis. Ayish dah salam atok?” tegur Zaim, lembut. Gayanya juga seperti Ayish, separuh berbisik.

“Dah.” Jawab Ayish, ringkas. Tersenyum lebar dia. Gilirannya pula mencium pipi tembam Sufi Zairisya. Sayang sungguh dia kepada adik kecilnya ini.

“Okay, sekarang ayah pulak nak salam atok dengan nenek. Ayish gi ikut Acik Ida tak pun Acik Su dulu ya,” suruh Zaim, masih dipenuhi kelembutan.

“Isya... Awak langgar janji awak kepada abang.” Lafaz itu hanya terluah di dalam hati Zaim.

***************************************************************************
Duhai bonda, duhai ayahanda
Dengarlah rayuan anakanda
Yang jauh di mata

Kan kusujud di kakimu bila kita bertemu
Kan kucium tanganmu, kupohon restu
Oh maafkan daku, kesalahan diriku...

            “Jadi ke kamu nak pergi jenguk mereka nanti?” tanya ayah mertuanya itu. Tadi selepas sesi bersalam dan bermaaf-maafan dengan kedua orang mertuanya, terus mereka menjamu selera pelbagai jenis juadah hari raya yang sudah terhidang.

            “Jadi, bah. Abah nak ikut ke nanti?” balas Zaim pula. Ketupat yang sudah dicicah rendang daging itu seakan terasa sukar untuk ditelan. Ayish hanya memandang kosong perbualan antara datuk dan bapanya itu. Tidak memahami langsung apa yang sedang dibincangkan oleh mereka berdua.

            “Abah minta maaf, Im. Abah rasa hari ni abah tak dapat ikut kamu. Rumah ni ramai tetamu datang pagi raya ni. Tapi, kamu ajaklah mak kamu tu. Abah izinkan. Kamu bawaklah mak kamu, boleh juga dia tolong jagakan Risya tu nanti. Dia pun rindu nak tengok Isya lagi.”

            Zaim hanya mengangguk. Mengiakan suruhan bapa mertuanya itu.

            Setelah menjamu selera, bergegas dia membawa kedua orang anaknya dan emak mertuanya itu menuju ke suatu tempat yang menempatkan insan-insan yang amat disayanginya. Walaupun mereka telah tiada, Zaim masih mahukan anak-anaknya mengenali siapa mereka.

            Sufi Zairisya dipangku di dalam kereta oleh neneknya di tempat duduk belakang. Zaim kasihan mengenangkan anaknya itu masih bayi untuk dibawa bersama. Dibiarkan sahaja enjin kereta hidup bagi membiarkan penghawa dingin terus terpasang.

Zaim mengajak Ayish keluar.

            Di hadapan pintu pagar tanah perkuburan itu, Zaim memimpin tangan Ayish. Menuju ke kubur insan-insan yang amat dirinduinya.

            “Assalamu’alaikum, mama, papa, Abang Zaif. Selamat Hari Raya semua. Hari ni Im bawak anak Im. Nama dia Muhammad Yusuf Zulfarish. Tapi kami panggil dia Ayish. Comel tak Ayish?” Sapa Zaim. Seolah-olah mereka itu ada duduk berbicara dengannya. Hatinya dipagut rasa rindu yang membelenggu.

            “Abang, ingat tak. Dulu kau suka sangat nama Yusuf ni. Aku bubuh nama ni dalam nama anak aku sebab aku rindukan kau,bang. Aku letak sekali nama Zulfarish sempena nama kau. Muhammad Zaif Zulfarish.”

            Zaim menyuruh Ayish duduk di kerusi batu yang dipenuhi marmar bewarna hijau itu. Ayish hanya menurut. Sungguh dia seorang anak yang patuh.

Kerusi batu itu dibina oleh Zaim untuk memudahkan dia berteleku di kubur itu setiap kali dia datang melawat. Kedudukan kerusi batu itu kemas terletak di antara kubur papa dan mamanya.

            Dibacakan surah Yaasin dan disedekahkan kepada mereka bertiga. Seusai bacaan Yaasin itu, diajak supaya Ayish sama-sama mengaminkan doanya yang mengharapkan kebahagiaan mereka di alam barzakh sana.

            Zaim memaut satu demi persatu, ketiga-tiga batu nisan kedua orang tuanya dan juga abangnya itu. Di setiap pelukan itu, tidak sudah dia menyedekahkan Al-Fatihah kepada mereka.

            “Pa, ma. Maafkan segala salah silap Zaim selama kita hidup bersama ni ya? Im minta maaf dengan mama dan papa sebab selalu susahkan mama dan papa dengan kerenah Im. Sebab Im, nyawa mama, papa dan abang melayang.

            Im minta maaf ma, pa. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

            Mama, terima kasih dan tolong halalkan setiap titik air susu mama dan suapan makanan yang mama suakan ke mulut Im dulu. Im minta maaf Im tak sempat balas jasa mama yang dah bersusah-payah melalui keperitan untuk lahirkan dan jaga Im dulu. Hanya sedekah dan amal jariah atas nama mama, papa dan Abang Zaif je yang Im mampu lakukan. Untuk tolong mama, papa dan abang sebagai tanda sayang Im.

            Papa, terima kasih dan halalkan setiap perbelanjaan yang papa tanggung untuk Im dulu. Maafkan Im sebab tak dapat balas setiap keringat Papa yang keluar bila mencari rezeki demi kami sekeluarga. Demi membesarkan Im yang degil ni.

            Im minta maaf, kerana Im papa dan mama pergi dalam usia muda. Kerana Im buat papa dan mama meninggal, atok dan tok mak bencikan Im. Im tak tahu nak buat apa lagi, pa, ma. Im rasa bersalah sangat dah buat mereka hilang anak, menantu dan cucu kesayangan mereka.

            Im betul-betul tak tahu apa lagi yang Im perlu buat untuk meraih semula kasih sayang atok dan tok mak. Im buntu.

            Maafkan Im, papa, mama. Maafkan Im...” Air mata menitis lagi.

            “Ayish, ini kubur arwah Tok Pa dan Tok Ma Ayish. Papa dan mama kepada ayah, tau.” Ayish tersenyum polos dan mengangguk. Akalnya yang bijak itu memahami butir bicara ayahnya.

            “Yang kat sana tu kubur arwah pak long Ayish. Abang ayah. Zaif Zulfarish namanya. Lebih kurang dengan nama ayah, Zaim. Tapi ayah letak nama pak long dalam nama Ayish. Sebab tu nama penuh Ayish, Muhammad Yusuf Zulfarish. Pak long kamu suka nama Yusuf tu. Sebab dia suka kisah Nabi Yusuf Alaihissalam.” Jari Zaim menunjukkan kubur Zaif di sebelah kubur arwah mamanya. Sekali lagi si kecil itu tersenyum memandang kubur itu. Di kubur itu, ada sesuatu yang menarik minatnya. Yang membuatkan si kecil itu tersenyum senang.

            Tersenyum sumbing sedikit Zaim bila mengingatkan yang abangnya itu lebih rapat dengan mamanya dulu. Dia pula lebih rapat dengan papanya memandangkan mereka berkongsi satu minat dan hobi yang sama, iaitu memancing!

            Abang Zaif dan mamanya pula lebih suka menghabiskan masa memasak bersama. Pelbagai resepi pernah dicuba bersama. Dia pula tidak begitu meminati bidang masakan ini. Untung isterinya Isya itu pakar memasak.

            “Anak dara mama dengan mama, tolong masak ikan ni ya? Kitorang dah penat memancing kat tasik, so turn korang pulak lah ye memasak.” Suara papa menyakat anak bujang sulungnya dan juga isterinya. Membuatkan satu keluarga itu tergelak.

            “Awak ni, baik-baik dia ni anak bujang smart cukup pakej, awak panggil anak dara pulak ya? Jatuh saham bujang macho kita sorang ni.” balas Mama pula. Zaif hanya tersenyum sumbing mendengarkan bicara orang tuanya. Dari ekor matanya, dapat dilihat adiknya, Zaim turut tertawa senang.

            “Takpelah, ma. Zaif tak kisah pun papa nak panggil Zaif apa. Janji tak membawa maksud buruk. Papa nak masak macam mana ikan ni, pa?” tanya Zaif yang ketika itu sedang bercuti selepas tamat peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Dia memang selalu diusik sebagai anak dara oleh papanya memandangkan dia gemar tolong mamanya memasak dan mengemas rumah. Hendak buat macam mana, dalam keluarga mereka, dua orang bujang ini sahaja penghias rumah tangga pasangan jurutera dan peguam ini. Namun, mereka tetap bahagia. Tiada sengketa.

Zaif tidak kisah dipanggil anak dara oleh papanya. Dia tahu papanya bergurau sahaja. Asalkan hati mereka bahagia dan gembira, dia sudah cukup bersyukur. Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat kasih sayang yang tak terhingga dalam keluarga kecil mereka ini.

            “Ayah, Pak Long Zaif ni mesti baik kan orangnya ayah?” pertanyaan Ayish sekali lagi mematikan lamunan Zaim.

            “Kenapa Ayish tanya macam tu?” tanya Zaim. Pelik.

            “Kubur Pak Long Zaif bau wangi. Lepas tu, pokok tu tumbuh cantik kat kubur pak long.” Dihalakan jari telunjuknya ke arah pohon kemboja yang subur di tepi kuburan Zaif.

Zaim tergamam mendengar butir bicara anak bujang ciliknya ini.

            “Mana Ayish tahu pak long baik orangnya?” tanya Zaim lagi. Jawapan dipinta.

            “Mak tok cakap kat Ayish, selalunya kubur orang yang baik-baik ni, wangi dan berseri je kuburnya. Bersinar-sinar dan bercahaya. Tanda yang Allah sayangkan mereka,” jawab Ayish bersahaja. Petah sungguh bicaranya. Zaim memeluk anaknya itu.

            Sekali lagi hatinya dipagut rasa sayu. Sebak.

            “Abang, tengok bang. Anak aku yang kecik ni pun tahu kau amat baik orangnya, bang. Aku minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki pada kau bang. Terima kasih untuk setiap limpahan kasih sayang dan curahan ilmu yang kau kongsi dengan aku selama hampir 13 tahun aku hidup bersama kau dalam keluarga kita ni. Terima kasih sangat-sangat kau ajar ilmu kau dekat adik kau yang jahil ni dulu. Lebih-lebih lagi ilmu agama. Terima kasih sudi jadi cikgu mengaji aku sampai aku khatam Al-Quran. Kau sentiasa nasihat aku supaya pilih jalan mana yang betul dan yang salah. Terima kasih sebab kau sanggup gadaikan nyawa kau demi selamatkan adik kau yang banyak buat salah dan silap kat kau dan papa mama ni.

            Aku banyak salah kat kau, bang. Agaknya kalau aku tak lawan cakap kau hari tu, mungkin kau masih ada kat sini, bang. Abang Zaif. Aku rindu sangat kat kau, bang.” Luahan itu hanya terucap di dalam hati Zaim. Ada air mata yang mengalir laju dari pelupuk matanya.

            “Ayah, jangan menangis. Tak baik,” tegur Ayish. Ringkas. Zaim memandang wajah si kecil itu. Persis wajah arwah Zaif. Membuatkan Zaim semakin tersayat kepiluan. Sungguh dia amat merindui Zaif!

Zaim mengeratkan lagi pelukannya di tubuh si kecil itu. Ayish turut memeluk erat ayahnya. Kemudian, dia mengelap air mata yang berlinangan di pipi Zaim. Walhal, di pipi si kecil itu turut dibasahi air mata. Sedih melihatkan ayahnya menangis.

            “Baiklah. Ayah takkan menangis lagi, sayang. Terima kasih sebab Ayish sentiasa jadi penguat semangat ayah...” Dia merasakan seolah-olah Ayish itu seperti Zaif, sentiasa berjaya memujuk hatinya yang sedang diruntun pilu.

            “Dah, jom kita pergi lawat ibu pulak. Beri salam kat Tok Pa, Tok Ma dan Pak Long Zaif.” Tukas Zaim.

            “Assalamu’alaikum Tok Ma, Tok Pa and Pak Long Zaif. Ayish balik dulu ya. Ayish nak gi tengok ibu pulak.”

            Ayish turut berbuat seperti Zaim tadi. Memeluk satu-persatu ketiga-ketiga batu nisan itu. Seolah-olah memeluk mereka secara zahir sesungguhnya.

Setelah beberapa langkah meninggalkan kubur ahli keluarganya, terasa bagai ada tiupan angin lembut yang menghenyak tubuh Zaim.

            “Jangan salahkan diri kau, dik. Tiap yang berlaku itu adalah takdir. Abang harap kau sentiasa kuat. Lebih-lebih lagi lepas apa yang jadi kat isteri kau. Abang tau kau kuat. Terima kasih sudi lawat abang, papa dan mama. Mereka kirim salam. Comel anak kau. Bijak. Macam kau jugak. Didiklah dia seperti mana aku didik kau dulu. Penuhi dadanya dengan ilmu agama. Diseimbangi dengan ilmu dunia. Barulah tenang dirinya kelak. Kau tunggu sikit masa lagi, dik. Insya-Allah, akan ada kebahagiaan yang akan menemui kau. Sekarang ini hanyalah secebis ujian kiriman dari-NYA. Tanda sayang, untuk DIA melihat sekuat mana iman hamba yang amat disayangi-NYA ini. Selamat Hari Raya, dik.” suara Zaif hinggap di gegendang telinganya. Lembut. Seperti selalu bila dia berbicara dengan Zaim.

            Zaim hanya tersenyum. Tenang. Dia bersyukur. Dia tahu abangnya dan kedua orang tua mereka tenang di sana.

Alhamdulillah...

“Selamat Hari Raya, bang. Im balik dulu ya bang. Terima kasih untuk segalanya. Assalamu’alaikum...”

“Wa’alaikumsalam. Jangan salahkan diri kau, dik...”

Di sebelah Zaim, berdiri Zaif merenung adiknya. Penuh keredupan pandangannya. Dia juga tersenyum. Senang. Wajahnya cukup bersinar.

Sayang, susuk tubuh Zaif dan wajahnya yang berseri-seri itu tidak dapat dilihat oleh mata kasar Zaim. Hanya haruman mewangi yang menerjah rongga hidungnya. Kerana alam dan dimensi mereka yang sudah berbeza. Mata Zaif menyorot melihatkan adiknya dan anak saudaranya itu berlalu pergi meninggalkan perkarangan taman perkuburan itu.

Hanya si kecil Ayish yang dapat melihat indahnya cahaya yang bersinar di wajah Zaif sedari tadi. Dia membalas senyuman manis pak longnya itu...

**************************************************************************
Mengharungi samudera mahligai nan suci,
Penuh gelombang silih berganti,
Semua adalah ujian penguat cinta,
Bila hati bicara...

Terkadang tak perlu terucap kata-kata,
Untuk selami dalamnya hatimu,
Susah senangmu jadi bagian hidupku,
Karena hati bicara...

Tatap manja matamu,
Kisah kan berjuta cerita,
Hadirmu di hidupku,
Memberikan berjuta makna...

Karunia Illahi,
Mempersatukan dua hati,
Kurasa yang kau rasa,
Karena hati bicara...

“Assalamu’alaikum, Isya...” sapa Zaim, mesra. Di bibirnya diukirkan juga senyuman. Walaupun hatinya perit. Melihatkan insan tercinta yang terbaring lemah.

            Izzreena Darwisya masih koma. Hanya mesin yang berdetik itu yang menandakan Isya tercinta masih bernyawa. Ada wayar yang dipasang di lubang hidung isterinya. Sungguh perit melihatkan keadaan isterinya sekarang. Teramat pucat!

            “Isya, Selamat Hari Raya, sayang. Abang rindu sangat dengan sayang. Bila sayang nak bangun? Abang rindu nak dengar suara sayang. Abang rindu bila sayang salam tangan abang dan minta maaf kat abang di pagi raya. Dah dekat 5 tahun kita kahwin, tak pernah lepas sayang buat macam tu kat abang. Kenapa tahun ni sayang tak buat yang sama? Sedih tau abang.” Disentuh kepala isterinya yang masih berbalut itu.

            Tiada respon.

Zaim hampa. Isterinya masih terbaring kaku di katil hospital. Dia tidak tahu harus berbuat apa lagi. Dia cuba menguatkan kembali semangatnya untuk berbicara dengan isterinya.

            “Pagi raya ni abang bawa anak-anak kita, sayang. Alhamdulillah, doktor beri izin untuk bawa diorang. Bangunlah, sayang. Ayish rindu sangat nak dengar suara ibu dia. Risya pun belum pernah dengar suara ibu dia lepas dia lahir. Isya dulu kan selalu berbual dengan Risya masa dia masih dalam kandungan. Mesti dia pun rindu dengar suara Isya.” Diusap-usap lembut pipi isterinya. Digapai pula tangan isterinya. Dicium tangan yang masih lemah-longlai itu. Penuh kasih. Penuh rindu.

            “Abang pun rindu sangat nak dengar suara sayang,” rintih hatinya. Tidak terucap kata-kata itu. Kerinduan yang tidak terhingga memenuhi segenap relung hatinya. Sudah dua bulan isterinya tidak sedarkan diri. Selama itu dia setia melawat isterinya di hospital setiap hari.

            Disuruh pula Ayish mencium kedua belah pipi Isya. Anak kecil yang patuh itu hanya menurut.

            “Ayish rindu ibu. Bangunlah bu. Ayish rindu sangat sangat sangat ni kat ibu. Ibu tak rindu Ayish ke? Dulu ibu selalu suapkan Ayish makan ketupat dengan daging masak manis masa raya. Lepas tu, malam pulak ibu temankan Ayish main bunga api. Kenapa kali ni ibu tidur pulak? Ibu merajuk dengan Ayish ke? Ibu dah tak nak teman Ayish ke? Ibu marah eh kat Ayish?” Dipeluk tubuh si ibu. Erat!

Zaim dan emak mertuanya semakin sayu mendengarkan rintihan Ayish.

Sedu-sedan si anak melihatkan ibunya masih diam tanpa sebarang bicara. Ada air jernih yang mengalir dari pelupuk mata si ibu. Si ibu mendengar tapi dia tiada daya untuk kembali ke dunia nyata tika ini. Dia masih berjuang di dunia ciptaan minda bawah sedarnya sendiri untuk pulang ke pangkuan suami dan anak-anaknya!

Kemudian Zaim mengambil Sufi Zairisya dari pangkuan emak mertuanya. Perlahan-lahan diletakkan bayi kecil yang baru menginjak ke usia dua bulan itu di sebelah ibunya. Ayish di sebelah kiri ibunya. Risya pula di sebelah kanan si ibu.

            Terkekek-kekek si kecil itu. Seakan memahami dia sedang berbaring di sebelah insan yang hampir kehilangan nyawa saat melahirkannya ke dunia ini. Si kecil itu turut merindui ibunya!

            “Isya, bangunlah nak. Anak-anak kamu rindukan kamu. Suami kamu pun rindukan kamu. Cukuplah buat dia terseksa tunggu kamu. Dia perlukan kamu, nak. Anak-anak semua rindukan belaian ibu mereka.” Pujuk emak Izzreena Darwisya pula. Hatinya turut dipagut rasa perit melihatkan si anak yang koma, masih belum terjaga. Dibelai-belai kepala anaknya yang terbalut kemas itu.

Tangan si kecil Risya bermain-main di pipi ibunya. Seakan mengelap air mata yang membasahi pipi ibunya. Dia sudah pandai mengiring. Hidungnya menyentuh pipi ibunya. Mencium si ibu.

Hati Zaim semakin diruntun pilu! Melihatkan apa yang terjadi di hadapan matanya membuatkan dia semakin sebak. Dia tidak sanggup melihatkan isterinya yang masih terkulai lemah lagi.

“Ya Allah, aku rindukan dia... Aku mohon, tolonglah kembalikan dia kepada kami. Aku tak sanggup melihatkan anak-anak hidup tanpa ibu mereka. Aku sendiri tak berdaya hidup sendiri tanpa dia menemani hari-hari aku. Aku mohon padamu, Ya Rabb... Kembalikan dia kepada kami...”

            Zaim beredar keluar dari ruangan wad khas yang menempatkan isterinya itu. Hatinya sudah tidak kuat. Tanpa dia sedari, sewaktu dia bergerak keluar dari wad itu, jari telunjuk kanan Isya bergerak-gerak. Perlahan. Lemah.

            “Zaim???” tegur Zareen dan Syaqif. Pasangan suami isteri itu terkejut melihatkan Zaim yang tersandar di dinding di luar wad.

            “Eh, Zareen? Syaqif? Buat apa kat sini? Nak melawat Izz ke? Dia ada kat dalam tu. Masuklah,” sapa Zaim. Sedikit terkejut. Menerima kunjungan sahabatnya. Dia cuba untuk  tersenyum manis. Tapi hambar.

            “Assalamu’alaikum, Zaim. Selamat Hari Raya, Im. Kami datang nak jenguk isteri kau. Boleh ya?” Syaqif bersalaman dengan Zaim. Zaim hanya mengangguk. Membenarkan.

            “Wa’alaikumsalam. Selamat Hari Raya, Syaqif. Zareen. Jemputlah masuk. Izz masih kat dalam tu.” Balas Zaim. Lemah suaranya. Walaupun dia cuba beriak tenang, keruh wajahnya yang sedih itu masih jelas terpamer.

Zareen dan Syaqif dapat membaca kesayuan yang memukim di relung hati Zaim itu.

            “Zareen masuk dulu ya, bang. Zaim, aku tengok bini kau dulu ya. Dah rindu sangat kat dia raya-raya ni,” pamit Zareen. Zaim hanya mengangguk dan memberi laluan kepada Zareen.

            “Abang Hafiz...” bisik Zareen, perlahan. Dia melirik ke arah suaminya, Syaqif Hafizuddin. Mereka bertukar isyarat melalui pandangan mata. Syaqif memahami maksud pandangan isterinya itu. Syaqif mengangguk perlahan. Kemudian, dia hanya membiarkan isterinya berlalu pergi masuk ke dalam wad Izzreena.

            “Im, kau dah makan belum?” tanya Syaqif kepada Zaim. Dipaut tangan kanannya ke bahu Zaim.

Zaim kini merupakan sahabat baiknya juga sejurus Izzreena mengahwini Zaim. Alhamdulillah, ikatan ukhwah yang terbina telah membina jambatan silaturrahim yang indah bila dilalui bersama-sama. Saling menyokong dan menghiburkan bila salah satu pihak dilanda masalah. Itulah resepi yang terbaik dalam menguatkan ukhwah persahabatan.

            “Aku dah makan tadi kat rumah. Kau tu dah makan belum?” balas Zaim.

            “Aku dah makan, tapi aku dah lapar baliklah, Im. Jom temankan aku makan kat kafe jap. Sambil sambil. Perut aku ni lapar tak sudah je. Maklumlah, hari raya. Baru lepas sebulan berpuasa kan. Hehehe... Jom, aku belanja kau...” Selamba sahaja Syaqif menuturkan bicara. Sambil menepuk-nepuk lembut perutnya. Menandakan yang dia sedang lapar yang amat. Syaqif turut tersenyum senang melihatkan reaksi Zaim yang sudah mulai tersenyum itu.

            Zaim hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum senang melihatkan perangai Syaqif ini. Selamba betul! Tak padan dengan status dirinya sebagai suami dan bapa kepada dua pasangan kembar! Juga sebagai seorang CEO dalam syarikat Megat Holdings. Syaqif, Syaqif... Memang sepadanlah dengan Zareen. Kedua-duanya terlebih selamba!

            “Jom! Aku okay je kalau ada orang nak belanja. Hehehe...”    
     
**************************************************
Kurasa yang kau rasa,
Karena hati bicara...

            “Zaim? Cucu atok. Ya Allah, cucu aku! Alhamdulillah, ada rezeki nak jumpa kamu raya ni. Rindunya atok kat kamu, Im. Atok nak mintak maaf ke kamu, cu.” sekali lagi Zaim terkejut! Seusai dia dan Syaqif menjamu selera di kafe hospital itu, dia ditegur oleh seseorang yang amat dikenalinya. Insan yang dirinduinya hampir 15 tahun ini. Tapi hatinya masih dipagut rasa takut. Dingin. Bersalah. Semuanya masih bercampur-baur.

            “Atok?” Zaim menggeleng-gelengkan kepalanya. Sungguh dia tidak percaya! Tan Sri Muaz sudah memeluk tubuh cucunya.



Namun si cucu hanya kaku. Tidak dibalas pelukan itu. Dia masih dipagut rasa bersalah. Perasaan pesimis itu datang lagi. Bercampur-baur. Bergelodak di dalam hati.

            Syaqif hanya memandang dari sudut kafe. Dia mengenali Tan Sri Muaz. Datuk kepada Zaim ini adalah salah seorang pemegang saham terbesar di salah satu cawangan syarikatnya juga. Tan Sri Muaz itu bukan orang lain, sudah dianggap bagaikan bapa angkat kepada bapa Syaqif, Megat Furqan.

            Tapi tanpa sepengetahuan Zaim, share saham itu telah diserahkan sepenuhnya kepada Zaim oleh Tan Sri Muaz. Tan Sri Muaz masih takut untuk berterus-terang dan menemui cucunya itu. Ada sesuatu yang perlu diselesaikan sebelum dia boleh menuntut semula kasih sayang cucunya ini. Bukan sengaja dia mengenepikan Zaim dari hidupnya. Ada sebabnya!

            Segala masalah yang membelenggu keluarga ini telah diketahui oleh Syaqif dari walidnya, Megat Furqan. Hanya simpati dan empati yang memenuhi kalbunya apabila mengetahui tragedi yang menimpa keluarga Zaim. Walidnya itu sudah dianggap sebagai anak angkat Tan Sri Muaz selepas anak lelaki tunggalnya pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Kerana itu Syaqif tahu. Kisah pahit yang menyelubungi hidup Zaim sebelum bertemu Izzreena Darwisya.

Disebabkan itu juga dia rapat dengan Zaim. Dia memahami kesunyian hidup tanpa teman. Lebih-lebih lagi pada waktu sekarang, tika Izzreena Darwisya masih tidak sedarkan diri. Dia dulu juga hampir kemurungan apabila kehilangan Rania dan hampir-hampir kehilangan Zareen pula. Memang perit! Sungguh dia ikhlas ingin Zaim bangkit semula menghadapi setiap ujian ini!

Zaim dihimpit rasa keliru. Dia tidak tahu, pertemuan ini telah dirancang oleh Syaqif dan Tan Sri Muaz.

            15 tahun dia hidup tanpa kedua orang datuk dan neneknya. Kenapa kini mereka muncul? Dicari mereka namun tiada khabar yang menyapa. Hanya kiriman nafkah melalui pindahan akaun bank yang diterimanya selama ini. Tiada langsung huluran rindu yang diterima.

            Dilihat tidak jauh dari datuknya, Puan Sri Zaleha sudah terduduk lemah di atas kerusi roda. Tok maknya itu memandangnya sayu. Zaim semakin keliru. Apa sebenarnya yang telah terjadi kepada tok maknya?

            “Ya Allah, ujian apa lagikah yang ingin Kau tunjukkan kepadaku ini? Aku mohon, kuatkanlah aku...”

            Zaim berlalu pergi dari situasi yang menjanggalkan ini. Fikirannya masih berserabut. Syaqif mengejar Zaim. Dia tahu fikiran Zaim semakin bercelaru selepas Tan Sri Muaz dan Puan Sri Zaleha muncul tiba-tiba.

            Tan Sri Muaz dan Puan Sri Zaleha terpinga-pinga ditinggal pergi oleh cucu mereka. Puan Sri Zaleha merasakan yang Zaim masih marah dengan mereka.

            “Dia masih marah dengan kita ke bang?” tanya Puan Sri Zaleha. Sayu.

            “Beri dia masa, Za. Dia masih terkejut.” Pujuk Tan Sri Muaz.

************************************************
            “Im, kalau aku cakap, kau jangan marah, ya.”

            “Cakaplah, Syaqif. Insya-Allah, aku takkan marah.” Zaim meraup mukanya. Dia merasa sedikit tenang berada di dalam surau ini. Sengaja didirikan solat sunat taubat dua rakaat selepas ditunaikan solat Zohor tadi. Dia merasakan ketenangan mulai singgah di hati.

“Sungguh aku takjub dengan kekuasaan-MU, ya Rabbi. Benarlah Engkau yang Maha Berkuasa, menguasai hati dan kehidupan setiap hamba-MU. Menenangkan hatiku yang mengharapkan kebahagiaan dalam keredhaan. Rabbi yassir wa la tu’assir. Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku, jangan Kau susahkan lagi ia...” doa yang terlafaz di kalbu Zaim. Mengharap ujian ini adalah salah satu cara penguat cinta daripada-NYA.

Mereka menyambung bicara di luar surau. Kedua-dua orang lelaki ini melabuhkan punggung di kerusi yang terletak di dalam hospital itu.

 “Aku sebenarnya tahu detail cerita yang berlaku antara kau dengan atok kau. Dan ada apa yang aku tahu tu, engkau tak tahu,” ujar Syaqif. Penuh berhati-hati dia menyusun bicara.

“Apa maksud kau?” tanya Zaim. Berkerut dahinya cuba memahami butir bicara Syaqif.

“Atok kau rapat dengan walid aku. So, aku tahu banyak juga kenapa atok kau buat macam tu kat kau. Kenapa dia tinggalkan kau. Dia buat begitu bersebab, Im. Dia bukan datuk yang kejam untuk tinggalkan satu-satunya cucu kesayangan dia sesuka hati.”

“Ceritalah kat aku. Mungkin dah tiba masanya dirungkai apa sebab atok tinggalkan aku. Sebab aku tak tahu apa-apa. Kalau kau lebih tahu, ceritalah kat aku. Aku perlukan jawapan. Dan alasan. Untuk memaafkan mereka...” sambung Zaim lagi.

“Kau tahu arwah orang tua kau dan abang kau meninggal sebab apa?” tanya Syaqif.

“Sebab accident. Dilanggar kereta, 15 tahun dulu. Aku dah terlalu trauma untuk merombak semula apa penyebabnya dan siapa dalangnya,” balas Zaim. Lelaki berkulit sedikit hitam manis ini menggeleng perlahan kepalanya. Kemudian dipanggung kepalanya. Memandang Syaqif semula.

“Ada yang berdendam dengan atok kau, Im. Biasalah orang bisnes. Ada je yang tak puas hati bila atok kau naik lebih. Dia cuba jatuhkan atok kau dengan pelbagai macam cara. Mujur dapat ditangkap helahnya. Songlap, gelap duit syarikat atok kau. Semua dia buat. Lepas itu,  dia dijatuhkan di muka pengadilan oleh mama kau sendiri. Dia rasakan keluarga kau bertanggungjawab untuk kejatuhan dia. Itu yang dia tekad dan berdendam sangat hendak musnahkan setiap ahli keluarga Tan Sri Muaz. Disebabkan dendam, dia melanggar laju orang tua kau dan abang kau. Mujur, kau terselamat.”

“Astaghfirullahal ‘azim. Betul ke ni Syaqif?” Zaim mula meminta kepastian. Dibiarkan Syaqif menyambung cerita. Kini dia hanya menjadi pendengar yang setia. Menggeletar juga tubuhnya mendengar khabaran yang mengejutkan ini.

“Sumpah, demi Allah, Im. Aku bercerita mengikut apa yang walid bagitau aku. Walid tak pernah menipu aku, Im. Walid sendiri cakap, cerita ini atok kau yang bagitau dia.

Disebabkan kehilangan tiga orang ahli keluarga sekaligus dan hanya tinggal engkau satu-satunya sebagai pewaris Tan Sri Muaz, dia buat keputusan yang dia sendiri terasa berat untuk jalankan. Tok mak kau pula tidak boleh membantah, walaupun dia jatuh sakit teruk lepas dihantar kau pergi jauh dari mereka. Dia tak dapat terima hakikat terpaksa berjauhan dengan cucu tunggalnya selepas semua ahli keluarga kau yang lain dah meninggal.”

“Tok mak sakit sebab berjauhan dari aku? Bukan diorang ke yang buang aku dari hidup diorang?” nada yang dituturkan Zaim sedikit sinis.

“Diorang terpaksa, Im! Kalau diorang tak buat macam tu, mungkin diorang terpaksa kehilangan kau pulak. Diorang tak sanggup kalau kau pulak jadi mangsa. Dendam yang membaluti musuh keluarga kau tu bukan sikit, Im. Tebal sangat! Dia amat membenci setiap ahli keluarga Tan Sri Muaz. Selepas dia dijatuhkan hukuman, dia ada beritahu mama dan atok kau yang dia pasti akan kembali untuk membalas dendam!

Atok dan tok mak kau tak sanggup nak tengok kalau kau pula jadi mangsa seterusnya. Itu yang diupah orang tertentu untuk menjaga dan mengawal ketat keselamatan kau hampir 15 tahun ini. Sementara itu, diorang berusaha keras mengumpul bukti yang cukup untuk mendakwa semula dalang yang membunuh ahli keluarga kau tu.

Tok mak kau pulak kena serangan strok yang agak teruk tak lama lepas orang tua kau meninggal. Puas atok kau berikhtiar di luar negara untuk ubatkan tok mak kau. Itu salah satu penyebab mereka terpaksa tinggalkan kau jauh dari diorang. Diorang tak sanggup nak kongsi rasa sakit yang ditanggung tok mak kau. Takut mengganggu konsentrasi kau belajar dan buat kau lagi sedih.

Diorang sangka kau akan selamat bila kau jauh dari diorang. Bila sudah dipasang secara senyap-senyap pengawal peribadi menjaga dan mengawal kau. Tapi, mereka silap. Musuh keluarga kau ini terlalu licik. Bukti-bukti semasa kejadian 15 tahun lepas tu berjaya dihapuskan tanpa sebarang kesan.

Tapi...” Syaqif terhenti seketika. Dia ragu-ragu untuk meneruskan cerita. Takut hati Zaim tersayat lagi apabila mengetahui kebenaran yang lebih menyakitkan ini.

“Tapi apa, Qif?” hati Zaim berdebar-debar apabila bicara Syaqif terhenti.

“Kejadian yang dalang tu buat kat Izz dua bulan lepas. Berjaya dirakam sebagai bukti untuk heret dia ke muka pengadilan. Dia berjaya disabitkan hukuman penjara seumur hidup.”

“Kejadian yang berlaku kat Izz? Maksud kau? Apa yang terjadi kat Isya, yang buat dia terbaring kat katil hospital selama ni bukan sebab kemalangan biasa? Yang buatkan Isya terpaksa lahirkan Risya secara pembedahan merbahaya ni? Ya Allah, Syaqif... Kenapa aku tak tahu?” benar hati Zaim makin tersayat.

Syaqif hanya mengangguk. Perlahan-lahan.

Zaim terpempan sendiri. Setelah mengetahui kebenaran di sebalik dirinya ditinggal pergi oleh datuk dan neneknya. Kini dia harus menelan hakikat, kejadian yang menimpa Isya itu juga berkait rapat dengan dalang penyebab dia kehilangan ahli keluarganya.

*****************************************
            “Abang, Isya pergi tunggu dalam kereta dulu ya.” Zaim hanya mengangguk dan tersenyum. Dengan perut memboyot, si isteri melangkah keluar menuju ke tempat parkir kereta di laman rumah mereka.

              Mereka sudah tidak sabar untuk bergerak pulang ke kampung Izzreena Darwisya. Zaim mencapai beberapa beg pakaian yang ingin diletakkan dalam bonet kereta. Mereka sudah berpakat untuk menghantar Isya yang sedang menunggu hari untuk bersalin ke kampung. Supaya dapat berpantang di sana nanti. Sebulan sebelum puasa mengikut tarikhnya.

            Zaim tersenyum sendiri. Mengingatkan hari lahir anak-anaknya. Kedua-duanya berdekatan dengan bulan puasa dan hari raya. Kasihan Isya... Kena ganti puasa lagilah gamaknya...

            “Ayish!!!” terdengar suara menjerit nama anaknya. Zaim terkejut! Itu suara Isya! Bergegas dia keluar ingin melihat apa yang terjadi.

            “Isya...”

            Hampir longlai segala urat lututnya saat melihat Isya terbaring di tengah jalan di hadapan rumah mereka. Kepala Isya sudah mengalirkan darah. Bahagian bawah baju isterinya juga dibasahi darah! Dipangku kepala Isya.

            Ayish pula terdiam kaku. Persis seperti Zaim 15 tahun lalu apabila melihat orang tuanya dilanggar kereta. Lutut Ayish koyak sedikit. Kesan tergesel dengan jalan tar yang kasar itu. Tadi dia ingin mengambil bola yang bergolek di tengah jalan depan rumah teres mereka itu. Dia ingin bawa bola itu pulang ke kampung. Untuk dimain bersama-sama dengan sepupu-sepupunya.

Dia tidak sedar ada kereta yang meluru laju ke arah mereka. Sedar-sedar dirinya terasa ditolak oleh seseorang. Dan bila Ayish berpaling, ibunya sudah terbaring di tengah jalan. Dipenuhi darah!

            Bergegas jiran sebelah rumah Zaim membantu mengangkat Ayish masuk ke dalam kereta. Zaim pula mencempung tubuh isterinya itu. Tidak habis dia berdoa agar diselamatkan isteri dan anak dalam kandungan isterinya itu. Cemas sungguh dia!

            Mujur ada jirannya yang sudi membantu memandu keretanya menuju ke hospital. Zaim sudah terlalu panik! Tiba-tiba dia seakan tidak tahu untuk memandu!

            Zaim memangku Isya di tempat duduk belakang. Ayish di tempat duduk sebelah pemandu itu pula sudah merengek kesakitan dan ketakutan.

            Tanpa Zaim sedari, dalang yang sama yang melanggar orang tuanya dan kini melanggar isterinya itu sudah dikeronyok oleh konco-konco yang diupah oleh Tan Sri Muaz. Di satu sudut lorong tidak jauh dari rumahnya. Pengawal peribadi yang diupah Tan Sri Muaz itu mengerjakan pelanggar itu sehingga lunyai!

            Kerana kecederaan teruk itu, Isya terpaksa dibedah untuk menyelamatkan nyawa bayi di dalam kandungannya. Syukur. Alhamdulillah, Sufi Zairisya lahir dengan selamat. Lutut Ayish pula semakin pulih.

            Cuma...

Dua bulan telah berlalu. Sya’ban telah berlalu. Ramadhan juga telah pergi meninggalkan mereka. Kini Syawal sudah bertandang. Izzreena Darwisya masih terbaring kaku di atas katil itu.

Buat kesekian kalinya, sekali lagi sambutan Aidilfitri nya diuji sebegini hebat!

“Penantian itu satu penyeksaan, sayang!” getus Zaim. Harapannya hanya satu, agar Isya bangun. Menemani mereka dalam meriahnya sambutan Aidilfitri. Seperti yang selalu diraikan mereka sekeluarga.

Dia melangkah semula ke wad Isya. Dia membuka pintu gelongsor yang memisahkan wad itu dengan ruangan luar wad. Zaim mengangkat wajah.

Dia terpana!

“Isya...” meluru Zaim mendapatkan isterinya itu.

Isya menguntum senyum memandang wajah suami yang amat dirinduinya ini! Dia sudah tersandar. Risya pula sedang berada dalam pangkuannya. Tangan kirinya memaut bahu Ayish. Permata hati mereka suami isteri.

Sungguh Zaim tidak percaya. Apa yang diharapkannya tertunai jua. Syukur Ya Allah!

Zaim mencium pipi isterinya. Tidak sedar di dalam ruangan wad itu, ramai yang memerhati. Tidak terlepas, atok dan tok maknya juga antara yang memerhati.

“Ehem!!! Zaim, bukan kau sorang je yang ada bini kat sini,” usik Syaqif. Sahaja ingin mengusik. Lengannya pula dicubit kuat oleh Zareen.

“Dia tu kes lain cik abang oi... Jangan galak sangat duk mengusik tu.”

“Adoiii, sakitlah yang...” menyeringai Syaqif dibuatnya. Menahan perit sengat cubitan isterinya itu.

Semua yang berada di dalam wad itu tergelak...

**********************************************
Bertukar senyuman dan salam
Ziarah-menziarahi
Tutur dan kata yang sopan
Saling memaafi


Suasana Hari Raya
Walau di mana pun jua
Memberikan ketenangan
Dan mententeramkan jiwa

            “Selamat Hari Raya Aidilfitri, tok mak. Maafkan segala salah silap Zaim selama ni kat tok mak.” dikucup lama kedua belah tangan neneknya itu. Sebelum dicium kedua belah pipi tok maknya yang masih terduduk di atas kerusi roda itu.

            “Zaim takde salah apa pun kat tok mak. Patutnya tok mak yang minta maaf kat Im sebab tinggalkan Im dulu,” ujar Puan Sri Zaleha. Hiba. Dibalas pelukan cucunya itu. Tan Sri Muaz dan Izzreena Darwisya yang memandang turut dipagut rasa sayu.

            “Keadaan yang memaksa kita terpisah. Syukur sekarang kita dapat bersatu semula sebagai satu keluarga.” Balas Zaim. Tersenyum manis dia. Hari ini tidak patut mereka bersedih. Hari yang bahagia, sepatutnya dihiasi gelak tawa.

            Dicapai pula tangan atoknya. “Selamat Hari Raya, tok. Im minta maaf kat atok. Selama ni Im salah faham kat atok. Im ingatkan atok benci kat Im. Im tak tahu langsung atok buat semua ni demi kebaikan Im. Maafkan segala kesalahan Im dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Im sayang atok!”

            Dipeluk tubuh datuknya itu. Kuat. Ada sisa air mata yang bergenang di tubir matanya. Air mata gembira!

            “Im tak salah apa-apa, cu. Kita semua manusia yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Semoga kita dapat mengambil hikmah di atas setiap yang berlaku. Ada hikmah yang tersembunyi. Setiap ujian yang datang itu tanda kasih dan sayang daripada-NYA, Im. Atok bangga Im dapat tempuhinya dengan penuh kesabaran.”

“Alhamdulillah, di hujung harapan kita untuk mengecapi bahagia. Ada lagi keajaiban yang berlaku. Berkat kesabaran bersama. Moga Aidilfitri kali ini dilimpahi keberkatan.”

Masing-masing tersenyum memerhatikan keletah Ayish yang girang bermain bunga api bersama-sama sepupunya. Tidak ketinggalan anak-anak Zareen dan Syaqif turut serta memeriahkan suasana.

Zaim memeluk erat Isya yang sedang mendukung Risya dari belakang. Bahagia menyelimuti perasaan mereka berdua.

Syaqif dan Zareen turut tesenyum simpul melihatkan permata hati mereka yang lebih kurang sebaya Ayish sedang bermain gembira.

Aidilfitri kali ini membuahkan senyuman. Hasil kesabaran dan harapan yang tiada penghujungnya.




-Tamat ditulis sepenuh dan setulus hati oleh cik rookie writer, Roxalynne @ Ct Roxalynna

3.20 pm / 10 Ogos 2014 / 14 Syawal 1435 H

Maaf, lambat update.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir & Batin... :)

Bagi yang ingin membaca kisah percintaan antara Zareen & Syaqif, klik sini . :)

8 comments:

  1. best.menyentuh hati pun ada.harap masih belum terlambat utk wish.selamat hari raya roxalynne :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih sudi komen. Selamat hari raya juga :)

      Delete
  2. cerpen sedih.tersentuh hati dgn ketabahan seorang bapa yg membesarkan anak dia. and kesetiaan dia tunggu isterinya yg koma. daebak, siti!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks e-la :) . Err, nangis tak? Hehe.
      Lepas ni kalau baca PB, mohon sediakan tisu awal2...
      Maaf, kalau saya mendera perasaan pembaca cerita saya..
      Wink2, haha~

      Delete
    2. tak nangis. tp terharu dan tersentuh. hahaha.. maybe sbb pendek sgt kut. klu panjang2 mcm PB maybe akan nangis. ada scene nangis ea? nk kena beli tisu la kat Mydin nih :P

      Delete
    3. hahahaha. Insya-ALLAH, kalau menjadi, PB akan menjadi kisah yg amat menyedihkan bagi ZN :)
      So, sediakan tisu eh... Kalau beli kt mydin, jgn lupa swap kad bonus, boleh kumpul point bebanyak... hahahahahaha~
      wink2~

      Delete
    4. hahaha..bykla.kite xde kad bonus Mydin. pakai siti punya boleh dak? nanti siti bleh kumpul point. hahaha... great! tak sabar nak nangis sbb dh slalu baca cite lawak

      Delete
    5. hahahaha, xde jugak kad tu... sebab jarang belanja kt mydin.. huahaha~

      okeh, tp lmbt lg kot dpt terbit PB tu.. ngeeee~

      Delete

Dah baca post entry ni? Ace komen sikit.. ^^