Friday, January 30, 2015

[Cerpen Seram] Teman...

BACA : Novel Kita Suka Sama Suka



TEMAN...
“Awak ambil barang saya, jadi biar saya temankan awak...”

MALAM itu bulan mengambang penuh. Almaklumlah, malam pertengahan bulan Islam. Tia tersenyum sendiri tatkala matanya menjamah panorama yang mengasyikkan itu.
Dari celahan batu angin di tangga asrama itu, jelas di mata Tia menangkap cahaya bulan yang begitu indah. Subhaanallah! Maha Suci Allah yang indah dan sukakan keindahan hingga terciptanya suasana yang juga indah ini.
“Tia? Baru balik? Daripada Pahang ke ni?” bertalu-talu soalan menyapa gegendang telinga Tia. Dia mencari wajah pemilik suara yang menegurnya itu. Oh, Mila rupanya. Lalu Tia mengangguk dan menghadiahkan senyuman buat temannya itu.
Mila, rakan sekuliah merangkap jiran bilik sebelahnya di asrama kolej matrikulasi itu.
“Untunglah jadi ketua aras, boleh pergi sana sini. Best betul dapat jalan jauh-jauh ikut kem kepimpinan...” sambung Mila lagi. Kedengaran nada cemburu di situ.
“Tak best la Mila. Penat giler kot aku kena ragging tiga hari ni. Nasib baik Jumaat esok cuti. Dapat jugak aku rehat. Kalau tak, mahu pengsan. Eh, aku nak masuk bilik dulu la. Nak mandi! Badan dah bau busuk bachen ni. Cuba kau bau...” ujar Tia. Laju sahaja Tia meniti anak tangga menghampiri Mila.
Ketiaknya ditalakan ke arah temannya itu. “Ishhh kau ni, kemproh! Pengotor!” Mila menepis tangan Tia lalu menampar lembut bahu Tia.
Tergelak Tia melihatkan muka cemberut Mila sambil menutup hidung.
“Huuu, patutlah bau mashemmm. Dari sana kau tak mandi ke?” Tia hanya menggelengkan kepala.
Langkah kaki Tia segera diatur ke arah bilik yang sudah menjengah mata. Mila hanya membuntuti hingga mereka berdua tiba di bilik kediaman masing-masing.
“Tia, malam ni macam biasa eh. Setengah jam lagi aku mai bilik kau. Seram lah nak tinggal sorang-sorang dalam bilik tu. Roommate aku semua dah cabut balik kampung lepas habis kelas siang tadi.” Tukas Mila di hadapan pintu biliknya, buat muka simpati.
Of course lah, senget. Kau ni macam tak biasa pulak berkampung kat bilik aku. Selalunya kau buat bilik aku macam bilik kau sendiri kan? Pelik pulak kau mintak permission hari ni. Aku tahu kau tu penakut.. Tak boleh tinggal sorang. Tapi tunggu aku siap mandi dulu.” Tia tercari-cari kunci biliknya di kocek beg yang sedang digalas di bahunya.
“Eleh, cakap aku. Kau tu berani sangat ke? Dahlah minggu ni asrama lengang je. Ramai balik rumah. Lagipun, malam ni dahla malam Jumaat. Jumaat Kliwon pulak tu. Aku bukannya apa. Takut tetiba mak cik karipap terjengul kat tingkap bilik tu nak menjual kat aku. Eeeiiii, seram! Takut!!” Mila meraup bulu tengkuknya yang tegak berdiri.