Friday, January 30, 2015

[Cerpen Seram] Teman...

BACA : Novel Kita Suka Sama Suka



TEMAN...
“Awak ambil barang saya, jadi biar saya temankan awak...”

MALAM itu bulan mengambang penuh. Almaklumlah, malam pertengahan bulan Islam. Tia tersenyum sendiri tatkala matanya menjamah panorama yang mengasyikkan itu.
Dari celahan batu angin di tangga asrama itu, jelas di mata Tia menangkap cahaya bulan yang begitu indah. Subhaanallah! Maha Suci Allah yang indah dan sukakan keindahan hingga terciptanya suasana yang juga indah ini.
“Tia? Baru balik? Daripada Pahang ke ni?” bertalu-talu soalan menyapa gegendang telinga Tia. Dia mencari wajah pemilik suara yang menegurnya itu. Oh, Mila rupanya. Lalu Tia mengangguk dan menghadiahkan senyuman buat temannya itu.
Mila, rakan sekuliah merangkap jiran bilik sebelahnya di asrama kolej matrikulasi itu.
“Untunglah jadi ketua aras, boleh pergi sana sini. Best betul dapat jalan jauh-jauh ikut kem kepimpinan...” sambung Mila lagi. Kedengaran nada cemburu di situ.
“Tak best la Mila. Penat giler kot aku kena ragging tiga hari ni. Nasib baik Jumaat esok cuti. Dapat jugak aku rehat. Kalau tak, mahu pengsan. Eh, aku nak masuk bilik dulu la. Nak mandi! Badan dah bau busuk bachen ni. Cuba kau bau...” ujar Tia. Laju sahaja Tia meniti anak tangga menghampiri Mila.
Ketiaknya ditalakan ke arah temannya itu. “Ishhh kau ni, kemproh! Pengotor!” Mila menepis tangan Tia lalu menampar lembut bahu Tia.
Tergelak Tia melihatkan muka cemberut Mila sambil menutup hidung.
“Huuu, patutlah bau mashemmm. Dari sana kau tak mandi ke?” Tia hanya menggelengkan kepala.
Langkah kaki Tia segera diatur ke arah bilik yang sudah menjengah mata. Mila hanya membuntuti hingga mereka berdua tiba di bilik kediaman masing-masing.
“Tia, malam ni macam biasa eh. Setengah jam lagi aku mai bilik kau. Seram lah nak tinggal sorang-sorang dalam bilik tu. Roommate aku semua dah cabut balik kampung lepas habis kelas siang tadi.” Tukas Mila di hadapan pintu biliknya, buat muka simpati.
Of course lah, senget. Kau ni macam tak biasa pulak berkampung kat bilik aku. Selalunya kau buat bilik aku macam bilik kau sendiri kan? Pelik pulak kau mintak permission hari ni. Aku tahu kau tu penakut.. Tak boleh tinggal sorang. Tapi tunggu aku siap mandi dulu.” Tia tercari-cari kunci biliknya di kocek beg yang sedang digalas di bahunya.
“Eleh, cakap aku. Kau tu berani sangat ke? Dahlah minggu ni asrama lengang je. Ramai balik rumah. Lagipun, malam ni dahla malam Jumaat. Jumaat Kliwon pulak tu. Aku bukannya apa. Takut tetiba mak cik karipap terjengul kat tingkap bilik tu nak menjual kat aku. Eeeiiii, seram! Takut!!” Mila meraup bulu tengkuknya yang tegak berdiri.

Tia yang baru sahaja ingin memusing kunci pintu, terbantut terus niatnya. Dia membuang pandang ke arah lorong hadapan bilik-bilik kediaman. Malam ini memang lengang! Tidak seperti selalu, pasti ada sahaja pelajar lain yang bersidai di laluan itu. Kini, hanya dia dan Mila sahaja yang kelihatan. Mereka berdua sahaja yang tinggal?
Baru Tia teringat, minggu lepas hampir seluruh penghuni aras dua yang di bawah seliaannya itu berduyun-duyun berjumpa dengannya. Untuk  meminta dia  mendapatkan cop pengesahan balik daripada felo asrama. Memandangkan Jumaat esoknya ini mereka bercuti. Hanya seorang dua sahaja yang tidak berbuat demikian.
Tia menepuk dahi! Ah, bulu romanya turut tegak berdiri. Seramlah pulak. Kunci di tangan segera diputar bagi membuka tombol.
“Kau takut jugak ke?” tanya Mila. Pelik dengan Tia yang tiba-tiba senyap itu.
“Isshhhh. Mulut cabul lah kau ni, Mia. Dah dah dah. Aku nak masuk bilik dulu. Nanti kau teman aku mandi eh...” hingga tersasul salah nama jadinya. Soalan  Mila dibiarkan sepi tanpa jawapan. Malu hendak mengaku takut.
Tanpa membuang masa, Tia memulas tombol pintu. Menerobos masuk ke dalam biliknya.
Meninggalkan Mila sendirian. Gadis itu mengukir senyuman. Penuh tersirat.
*****
“Mila.. Oh Mila...” panggil Tia. Pintu bilik Mila diketuk. Tiada jawapan bersahut. Tombol pintu dipulas. Berkunci. Tia hampa.
“Mana pulak minah senget ni pergi? Tadi kan dah janji nak temankan aku mandi.” Dengan wajah dan bau badan yang masam mencuka,  tertunduk dia dalam kehampaan.
Langkah kakinya segera dihayunkan. Berpatah balik melalui hadapan biliknya sekali lagi, menuju ke arah tandas yang tidak berapa jauh dari biliknya itu. Ikutkan hati, dia malas hendak mandi apabila tiada yang temankan.
Tapi badannya yang melekit dan hampir melengas itu minta dibersihkan. Lebih-lebih lagi dia harus mensucikan diri, kerana baru habis ‘cuti perempuan’.
“Kusss semangat!” terkejut gadis itu apabila panggung kepala sahaja, wajah Mila menjamah mata. Tepat-tepat di hadapannya di tengah-tengah pintu tandas aras dua itu. Dengan mata terbeliak begitu memandang tajam ke arah Tia. Rambutnya pula menutup sebahagian wajah. Betul-betul macam hantu!
Bagai nak luruh jantung Tia, terkejut sangat!
“Makkkk, hantu!!!” jerit Tia. Hampir-hampir terduduk dia dibuatnya gara-gara terkejut.
“Hahahaha!! Oit Tia. Ni aku lah... Mila...” ujar gadis itu sambil mencuit bahu Tia yang sudah mencangkung sambil menutup wajah itu.
“Kau ni!! Terperanjat aku! Sengal lah... Hantu punya kawan.” marah Tia. Geram! Berkerut seribu dahinya. Merengus panjang sudahnya.
Terkekek-kekek Mila ketawa sambil menekan perutnya. “Oiii, malam Jumaat gini jangan sebut-sebut pasal hantu lagi. Kang muncul betul baru tahu.”
“Kau lah. Bengong. Rasa nak tercabut jantung aku ni tau tak?” Tia menjeling sahabatnya itu sebelum bergerak ke arah sinki yang bersusun di dalam tandas itu.
Bakul kecil yang berisi barang mandiannya diletakkan kasar di tepi mangkuk sinki. Geramnya tak habis lagi.
Melihatkan Tia yang masih marah, Mila menghulurkan kata maaf. “Alah... Sorry lah Tia. Aku gurau je. Janganlah marah...”
“Kau diri situ. Teman aku...” arah Tia. Dirinya ralit melepaskan ikatan rambut panjangnya. Mila hanya memerhati.
“Alamak, Tia. Aku rasa nak terkucil la pulak. Sat eh,” bingkas Mila berlari masuk ke dalam bilik air yang bersusun menghadap susunan bilik mandi di tandas itu. Kedua-duanya benar-benar di belakang Tia.
Tia hanya memerhati dari pantulan cermin, susuk tubuh Mila masuk ke dalam bilik air. ‘Masa ni lah dia nak terkucil nak apa lah. Aku suruh temankan pun payah.’
Tia mencapai berus gigi lalu dipicit ubat gigi ke atasnya. Sambil memberus gigi, Tia memandang pantulan dirinya di cermin. ‘Alamak, seramlah pulak sorang-sorang gini,’desisnya.
Selesai berus gigi, Tia tertunduk pula. Dibilas sebersih mungkin mulutnya. Berus gigi dicampak ke dalam baldi mininya. Tanpa sedikit pun memandang cermin. Pada saat inilah....
Tia tidak menyedari...
Pantulan imej dirinya di cermin itu tidak berbuat yang sama sepertinya! ‘Tia’ di cermin itu masih berdiri tegak, tertawa sinis sambil matanya tajam merenung Tia yang sebenar...
Masih tertunduk, Tia menarik baldi mini itu lantas menoleh ke belakang. Sepantas lipas kudung Tia menuju ke salah satu ruangan bilik mandi yang terletak di sebelah kirinya.
Sayang... Tia masih tidak menyedari senyuman sinis dan renungan tajam daripada ‘Tia’ yang di dalam cermin itu. Ralit ‘benda’ itu memerhatikan Tia berlalu pergi sebelum ianya hilang dalam bentuk titik-titik halus.
“Aik, siapa pulak yang nyanyi ni? Mila ke?” Tia pelik apabila ada lantunan suara menyanyikan irama yang... lama! Irama tradisional! Bagaikan lagu yang dinyanyikan di istana pada zaman kesultanan Melayu lama dulu. Mendayu-dayu suara itu bernyanyi.
“Jikalau tuan hamba berkenan di hati... Hurmmm...”
Begitu merdu suara itu bernyanyi diiringi bunyi pancuran air, betul-betul dari sebelah ruang mandi yang menempatkan Tia.. Tia menyedapkan hati. ‘Itu mungkin Mila yang nyanyi kot.’ Meskipun dia pelik, sejak bila pula temannya ini ‘layan’ lagu irama tradisional.
Setahunya, lagu Taylor Swift yang sering didendangkan oleh Mila. ‘Dah tukar selera kot...’ Tia menyedapkan hatinya lagi. Menyambung mandi wajibnya.
Usai Tia berwudhuk, suara nyanyian itu pun hilang. Suasana di dalam tandas kembali  sunyi. Sepi.
Perasaan seram dalam diri Tia terus memuncak.
Dup dap...  Dup dap... Hatinya berdebar kencang...
Apabila dia keluar daripada bilik mandi tadi, tiada siapa di situ! Semua bilik mandi di sebelah-menyebelah dan bilik air tempat melepaskan hajat di hadapannya itu kosong. Tiada siapa pun! lantai juga kering. Hanya di ruangan Tia mandi sahaja yang lantainya basah disirami air.
Tanpa membuang masa walau sesaat pun, Tia berlari keluar daripada situ.
“Mila, kau nyanyi eh tadi dalam tandas?” fokus Tia memandang Mila yang bersandar di sebelah pintu utama tandas.
“Mana ada. Aku tengah layan Facebook daripada tadi ni. Tunggu kau siap mandi lama sangat,” Mila menunjukkan telefon pintarnya kepada Tia.
“Err... Yeke?” terus meremang bulu roma satu badan Tia.
‘Habis tu siapa yang nyanyi tadi?’ pertanyaan itu terus berlegar di kotak minda Tia.
“Mila, aku nak solat and baca Yasin dulu kat bilik. Kau nak tunggu aku kat bilik aku ke?”
“Lagi satu aku nak tanya, tadi...” belum habis dia ingin menyoal...
Telefon di tangan Mila berdering tiba-tiba.  “Jap eh...” tukas Mila sambila matanya ralit membuang pandang ke arah skrin telefon.
“Alamak, parents aku call la Tia. Nanti dah siap, aku masuk bilik kau...” pantas Mila menjawab panggilan sambil berjalan menuju ke arah balkoni yang berdekatan dengan penyidai aras dua. Tiga langkah  sahaja dari pintu bilik Tia.
Tia menggeleng-gelengkan kepala. Mila kalau dah bergayut dengan family dia, mesti lama punya. Berasa selamat tatkala Mila tidak berapa jauh daripadanya, Tia segera masuk ke dalam biliknya.
*****
“Shodaaqallahul ‘azim...” ucap Tia mengakhiri bacaan Yasinnya. Kemudian dia menadah tangan, mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Tenang sedikit fikiran dan hatinya yang berserabut kerana kejadian tadi.
Baru sahaja telekung dilipat dan disimpan di dalam locker, Tia membuang pandang ke arah pintu. Kedengaran pintu bilik diketuk beberapa kali sebelum dikuak lebar.
Mila dan Farah menapak masuk ke dalam sambil berbual sesama mereka.
“Baru balik Farah?” tegur Tia kepada teman sebiliknya itu. Hanya Farah seorang teman biliknya yang tidak pulang minggu ini. Dua orang lagi sudah pulang ke rumah masing-masing siang tadi.
“Ha’ah Tia...” jawab Farah ringkas. Garis kepenatan jelas terukir di wajah gadis itu.
Mila pula sudah menghenyakkan punggungnya di atas katil Tia. Betul-betul bersebelahan dengan Tia duduknya.
“Lah, bukan Far ada date dengan pakwe Far ke hari ni? Awal balik..” tanya Tia lagi. dipandang wajah teman sebilik yang ruangannya itu bertentangan dengan ruangan Tia. Selalunya Farah akan stay up di luar  beramai-ramai. Pelik juga Farah sanggup balik kolej  semula malam ini. 
“Nak buat macam mana. Pakwe dia ada hal...” Mila pula tolong jawab.
Tia pula mengangguk. “Ohhh...”
“Okay, Far nak gi basuh muka jap. Satgi Far masuk balik ye join korang,” ujar Farah sebelum meloloskan diri ke luar bilik.
Tia dan Mila hanya memandang sepi.
“Hah, Tia cerita lah kat aku apa yang kau buat kat kem tu? Best tak?”  tanya Mila, mematahkan kesepian di dalam bilik itu.
“Best. Best sangat...” balas Tia sambil membuat thumbs up.
Beg galas yang terletak di kaki meja studinya yang juga terletak di sebelah katil itu dicapainya. Tia mengeluarkan sesuatu daripada beg itu.
Mila ternganga. Kagum!
“Tia, mana kau dapat ni? Cantiknya!!” segera Mila mengambil dua batang kayu halus yang terukir cantik seakan menyerupai seruling kecil lagi halus itu daripada tangan Tia.
“Aku jumpa masa buat jungle trekking kat hutan lipur semalam. Cantik kan? Tu yang aku ambik tu... Unik kan...”
“Ha’ah... Unik. Lawa. Nampak macam ala-ala replika seruling lama. Seruling mini mungkin...” Mila mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Apa tu ?” tanya Farah yang tiba-tiba terjengul sambil menudingkan jarinya ke arah ‘seruling’ halus itu.
“Seruling mini...” jawab Tia.
“Mana jumpa?” tanya Farah lagi sambil membelek salah satu kayu ‘seruling’ itu.
“Kat Hutan Simpan Endau-Rompin masa buat jungle trekking semalam...” Tia menerangkan sekali lagi. Tadi  kepada Mila, sekarang kepada Farah pula.
“Wahhh, berani ek Tia ambik. Barang macam gini bukan ada penunggunya ke? Lagi-lagi kalau ambik kat hutan. Kata orang, tiap barang seunik macam ni, ada ‘teman’nya... Tak boleh ambil sesuka hati...” tukas Farah panjang-lebar. Matanya tidak kalih memerhatikan ukiran kayu itu. Ditatapnya penuh minat.
“Err... Yeke? Tia tak percayalah Far.” Entah kenapa tiba-tiba bulu romanya kembali menegak apabila Farah menekankan kalimah ‘penunggu’ itu.
“Hati-hati Tia. Jangan nanti benda tu datang nak berteman pulak dengan Tia...” tambah Far lagi. Cuba menakutkan temannya ini.
“Far... Jangan takutkan Tia!” wajah gadis itu mendung. Pucat lesi. Berdetak kencang degupan jantungnya tika itu. Bantal kecil miliknya dilemparkan ke arah Farah.
“Hahaha... Penakut jugak rupanya Tia ni. Comel!” Farah dan Mila tergelak melihatkan Tia yang sudah cuak semacam.
“Itulah tadi tengok macam berani sangat. Penakut jugak rupanya ketua aras kita ni.” usik Mila pula. Dia menepuk tapak tangan yang dihulurkan Farah. Give me five! Berlarutan tawa mereka. Lucu melihatkan Tia yang ketakutan.
“Dahlah, Tia nak rehat. Penat! Nak tidur!” rajuk Tia. Terkena lagi dia!
Tangannya pantas mencucuk pengecas bateri ke telefon pintarnya. Macam manalah dia boleh terlupa untuk mengecas telefon bimbitnya sedari tadi.
Sudah berapa jam telefonya tidak dihidupkan. Gara-gara kehabisan tenaga bateri. Power bank miliknya juga sama.
“Dah, korang blah sana. Tia nak tidur!” halau Tia.
“Lahhh pulak...” Mila dan Farah akur. Farah kembali ke katilnya.
“Habis aku? Nak tidur mana?” tanya Mila pula.
“Tu katil Zeti ada. Katil Iza ada.” Jarinya menuding ke arah katil-katil dua orang lagi rakan biliknya yang kosong.
“Alah, takpelah aku tidur kat tikar kau ni je. Pinjam bantal dan selimut roommate kau ni ye..” Mila mencapai bantal dan selimut milik Zeti.
“Eleh, macam tak biasa pinjam je sebelum ni.” ejek Tia.
“Tidurlah korang. Tia penat kan. Tidur. Rehat. Jangan takut... Kitorang kan ada temankan...” sampuk Farah lalu menutup suis lampu bilik. Gelap-gelita bilik itu.
Tia menarik selimut menutup seluruh badan. Berselubung. Dia masih berasa seram sejuk! Tidak menyedari seruling mini itu masih di genggaman tangan kirinya.
Telefon pintar Samsung Galaxy W miliknya pula masih kemas berada dalam genggaman tangan kanannya. Butang on ditekan. Dalam selubungnya, Tia fokus membelek telefon bimbitnya. Takut terlepas info penting. Paparan jam di telefonnya menunjukkan sudah tepat pukul 12 tengah malam.
‘Aik, apasal sampai berpuluh missed call daripada Farah and Mila ni?’ getus Tia, kehairanan. Selama mereka berbual tadi, tidak pula mereka sebut apa-apa.
Selang beberapa minit, satu mesej masuk. Mesej yang membuatnya terasa ingin pitam!
Tia, kenapa tak jawab call? Far harap2 sangat Tia tak masuk bilik. Far harap Tia terus jumpa felo time Tia baca mesej ni kalau Tia dah tiba kat matrik. Jangan berani tidur bilik sorang-sorang! Kami dah cuba call Tia tapi tak dapat. Dengar cakap Far, jangan berani masuk bilik kita langsung malam ni. –Farah.
Selepas itu satu mesej daripada Mila pula masuk.
Tia, kau kat mana ni? Risau aku!!! Aku harap kau baca mesej ni sebelum kau masuk bilik kau. Aku dengan Farah n Zeti  tengah on the way hantar roommate kau Iza balik kampung dia ni. Iza kena rasuk teruk siang tadi! So, kitorang kena tunjuk jalan kat felo hantar dia balik rumah. Ingat! jangan masuk bilik kau langsung! Even jangan berani naik ke tingkat dua. Semua orang aras dua dah diarah kosongkan bilik masing2 sebab benda tu berlegar kat aras dua. Ustaz cuma sempat pasung benda tu dekat-dekat bilik basuh. Sementara tunggu ustaz lain yang lebih handal untuk tgkap n musnahkan benda tu sebelum terbit matahari esok pagi. Aku harap kau okay Tia....Aku harap sangat kau tak balik hostel hari ni... –Mila.
Gulp!!!
Kali pertama mesej masuk tadi Tia seakan tidak percaya langsung. Mungkin hanya prank. Tapi mesej kedua ini benar-benar membuat dia menggeletar bukan setakat lutut sahaja. Satu badan duq menggeletaq ni!
Farah dan Mila tidak pernah menipunya seteruk ini. Peluh terus merenik di dahi Tia. Sukar! Sukar untuk dia percaya! Tak mungkin!!!
Kalau Farah dan Mila takde di sini sekarang ini. Habis tu... Siapa yang berbual dengannya sedari tadi??
“Tia...”
“Tia...”
“Tia...”
Panggilan itu... semakin lama semakin menghampiri telinganya...
Membuatkan Tia mengeratkan lagi pelukan lututnya. Mengerekot dia menahan takut. Matanya dipejam serapat mungkin. Seiring menutup telinganya. Menggigil dan menggeletarnya dia tak usah dikata. Bagaikan nyawa menunggu masa melayang daripada jasad rasanya!
“Saya tahu awak belum tidur, Tia...” bisik suara itu di telinganya. Halus...
“Jangan takut. Benda jahat tu takkan dapat kacau awak. Awak dah ambil barang saya, jadi saya akan temankan awak...”
Di kejauhan, kedengaran nyaring suara mengilai...
Heeee... Heeee... Heeee....
Semakin lama kedengaran semakin dekat suara ngilaian itu di muka pintu biliknya. Tia terus terkumat-kamit membaca ayat-ayat Al-Quran yang terlintas di fikiran. Habis tunggang-langgang semuanya sudahnya.
Ayat terakhir Ayat Kursi itu diulang-ulangnya sebanyak mungkin. Jantungnya pula semakin laju mengepam darah ke seluruh badan. Takutnya dia!!!
‘Ya Allah, bantulah hamba-MU ini...’
“Jangan takut Tia... Kami ada temankan awak... Kami ada... benda tu takkan apa-apakan awak...” bisik dua suara halus itu lagi. Selepas itu Tia berasa ada tangan sasa yang menjalar di tubuhnya. Memeluk erat tubuhnya.
Tia sudah terdiam. Tidak sedarkan diri! Dia sudah tidak kuat...
*****
“Tia?” Ada tangan yang menampar lembut pipinya.
“Tia, bangun Tia...” perlahan-lahan gadis itu cuba mencelikkan mata. Matanya silau dipanahi sinaran cahaya matahari yang menerobos masuk melalui tingkap biliknya.
“Puannn!!!” terus Tia memeluk wanita yang menampar-nampar perlahan pipinya itu tadi. Felo asramanya rupanya. Sejurus itu air matanya dihamburkan.
“Tia, awak okay?” Tia hanya menganggukkan kepala.
“Saya nak balik!!!” desak Tia. Meracau-racau sebelum rebah semula.
“Ya Allah, Tia.. Awak demam teruk ni...” memang benar. Suhu badan Tia sudah naik mendadak. Hingga felo itu terasa bahangnya saat dipeluk gadis itu tadi.
*****
Sudah seminggu dia berada di rumah. Diberi izin cuti setelah dia ‘terselamat’ daripada gangguan makhluk halus yang mengganggu asramanya itu.
Tapi...
‘Makhluk’ dua ekor ini masih ingin menemaninya... Rupa mereka menyerupai pahlawan Melayu lama. Siap bertanjak dan ada keris yang disisipkan di pinggang. Manis tersenyum kepadanya. 
“Tia... Awak masih ada barang kami, kami akan temankan awak...” silap dia kerana ukiran seruling itu masih ada padanya.
Silapnya kerana dia terlupa di celah mana dia simpan seruling kecil itu!
Ahhh... 
Fikirannya sasau kerana terlalu terkejut dengan insiden gangguan itu. Membuatkan dia terlupa hampir banyak perkara. Apalah nasib badan... 
“Selagi awak ada seruling itu, selagi itu kami akan temani awak...”
Tia kembali termenung... Membiarkan dua orang ‘pahlawan’ Melayu lama ini duduk di dekatnya. Dia tidak inginkan semua ini terjadi... Dia tidak mahu ‘teman’ yang tidak sama alam dengannya!

Apa yang harus dilakukan? Tia terus dihimpit kebuntuan...


12 comments:

  1. Replies
    1. Hehe thanks kak Dhila kusayang... Mmuaahh ciked... :*

      Delete
  2. Uishhhh seram...sakit dada baca....
    Harap2 tia pulangkanlah seruling tu ke tempat asal...

    ReplyDelete
  3. Nak sambungan plezzz...hehehe...
    Seram2 pun best

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insya-Allah.. Ada rezeki saya sambung, ya. Atiqah :)

      Delete
  4. Ade smbungan dh ke? Bce siang hr pun jntung bdegup lju.. hihi. Best

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe, terima kasih komen.. Belum ada sambungan lagi, sis. Saya agak sibuk siapkan manuskrip lain dulu... ^^

      Delete
  5. Terbaik cik ct. .. Sye tak sbar nk tggu smbungn nyer :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Insya-Allah, ada rezeki saya cuba sambung :)

      Delete

Dah baca post entry ni? Ace komen sikit.. ^^